Bersatu, Bekerjasama Dengan Rakan Seperjuangan Hadapi PRN17 – Dr. Joachim

Bersatu, Bekerjasama Dengan Rakan Seperjuangan Hadapi PRN17 – Dr. Joachim

0
SHARE

SANDAKAN: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru semua ahli PBS agar terus bekerjasama dengan semua rakan seperjuangan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Selain itu, beliau mengingatkan ahli-ahli supaya tidak mudah mempercayai sebaran berita palsu atau berunsur hasutan yang disebarkan melalui media massa.

“Saya boleh katakan hampir setiap hari ada sahaja perkara baharu yang dilemparkan oleh pembangkang untuk memecahbelahkan perpaduan antara PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

“Tiap-tiap hari ada sahaja yang keluar di media massa,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri II.

“Jadi jangan terus percaya. Rujuklah kepada pucuk pimpinan iaitu Ketua Bahagian masing-masing. Ketua Bahagian pula, kalau tidak pasti, jangan sembarangan membuat atau mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Tiga Bahagian, iaitu PBS Bahagian Lamag, Sukau dan Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Sabtu.

Menyentuh mengenai kerjasama politik, Dr. Joachim menegaskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan tetap bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN.

“Kalau bukan kerana sokongan Pakatan Harapan dalam peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ pada 2023, kita mungkin berada di pihak pembangkang pada ketika ini,” jelasnya.

“Justeru saya mohon kita semua berdoa agar segala urusan berjalan lancar dan yang terbaik, demi memastikan GRS terus menjadi kuasa politik dominan di Sabah,” tambahnya.