KUCHING, SARAWAK – Individu dibenarkan merentas daerah dan negeri, malah dijangka boleh terbang ke luar negara dengan syarat telah menerima DUA (2) dos suntikan vaksin COVID-19 dengan memiliki sijil pengesahan, demikian menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke negara terbabit.
Beliau turut berkata bahawa sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 sekali gus menjadi ‘PASPORT’ untuk mereka bergerak.
“Kita sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan sesiapa yang sudah mendapat dua (2) dos suntikan boleh merentas daerah, negeri atau ke sana ke sini tanpa halangan pihak berkuasa…
“Malah dengan sijil itu juga, mereka boleh melakukan perjalanan ke Jepun, Shanghai, Hong Kong atau Jakarta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shelly Sheliza Ahmad, salah seorang peserta pada Sesi ‘Townhall’ Wawasan Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam tadi.
Muhyiddin turut mengulangi nasihat kepada orang ramai agar tidak bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu.
Sebagai individu pertama di negara ini menerima vaksin itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengalami sebarang kesan terhadap kesihatannya.

“Saya sama juga seperti Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg), kekal sihat dan cergas selepas menerima dua dos vaksin itu…
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan, vaksin itu selamat dan dijamin melindungi kita,” katanya.