KINABATANGAN, SABAH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan mengeluarkan kenyataan baharu bahawa pihaknya kembali menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang dilaporkan oleh stesen TV swasta, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata
sebelum ini Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan BN memberikan sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, ia mengambil kira ketetapan di peringkat persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Perbincangan telah dilakukan oleh Sekteriarat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menyelaras semua parti dan di Sabah kita diwakili oleh Timbalan Ketua UMNO Sabah sebelum ini, Datuk Yakub Khan.
“Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini tidak ada resolusi yang dicapai malah pemecatan penjawat jawatan awam lantikan politik dari UMNO terus dilakukan. Apakah ini yang dimaksudkan Kerajaan Perpaduan?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seleas menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Ramadan di Masjid Kinabatangan, semalam.
Bung Moktar dalam pada itu turut berkata bahawa terdapat kekeliruan orang ramai khususnya dikalangan ahli parti apabila pemimpin UMNO yang masih berada dalam kerajaan Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) sekarang.
Namun begitu, katanya mereka tidak dapat membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD).
“Pemimpin yang dipecat oleh UMNO kerana mereka menyokong secara terbuka dan menanda tangani akuan bersumpah (SD). Kemudian merrka telah pun mengisytiharkan keluar dari UMNO,” katanya.
Disamping itu, beliau turut menyatakan pihaknya juga tidak dapat memberkkan komen lanjut berhubung pemimpin dari UMNO yang dipecat sama ada dari jawatan dalam kabinet mahupun penjawat awam secara lantikan politik.
“Ini kerana ia merupakan khas Ketua Menteri untuk melantik dan memecat. Bagaimanapun, tindakan ini sebenarnya tidaklah melambangkan konsep Kerajaan Perpaduan yang sebenarnya.
“Justeru, bagaimana kita boleh menzahirkan sokongan jika begini keadaannya?,” katanya.






