TAWAU: Seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakannya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian di asrama kolej pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika prosiding penetapan hukuman turut memerintahkan 12 lagi tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Memetik laporan TV3, pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan semua 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu bersalah atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mereka didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama kolej antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Mangsa yang mesra dipanggil “Ijat” ditemui tidak bernyawa selepas dipercayai dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan sendiri di Asrama 7 Resak dan 5 Belian kolej berkenaan.
Kejadian dilaporkan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
 
             
	





