BUS Bimbing Usahawan Sepanggar Ke Arah Digital – Yakub

BUS Bimbing Usahawan Sepanggar Ke Arah Digital – Yakub

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Business Usahawan Sepanggar (BUS) ditubuhkan bagi membimbing usahawan khususnya dari kawasan parlimen tersebut bagi memudahkan kejayaan mereka dengan pendedahan kepada pemasaran digital.

Menteri  Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, meluahkan keyakinan beliau terhadap permulaan program yang disertai 30 orang dari pelbagai jenis latar belakang perniagaan.

“Semoga mereka akan menjadi contoh kepada usahawan lain di Sepanggar dan seterusnya Sabah dalam menjayakan program seperti ini…

“Insya Allah, kita akan luaskan usaha mereka. Kita telah mendapat penjelasan dari pihak MARA dan TEKUN dari sudut bantuan yang boleh dilakukan. Selain daripada itu, banyak lagi agensi lain yang boleh membantu,” katanya.

Yakub (tengah) menyampaikan sijil BUS kepada seorang peserta diiringi Pengerusi Business Usahawan Sepanggar, Merangkap Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Romeo Ansow (kanan)…

Menurutnya, BUS boleh menjadi platform untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan kepada usahawan yang benar-benar layak.

Katanya, ramai usahawan yang mampu berjaya tetapi belum mahir dari segi aspek pemasaran digital dan pengurusan kewangan syarikat.

“Kita mahu latih mereka untuk ke arah itu, membimbing mereka untuk menguasai kaedah pemasaran dan pengurusan kewangan melalui pelbagai kursus yang disediakan,” beliau berkata.

Namun demikian, Yakub berkata, tidak kira berapa luas peluang disediakan pihak kerajaan, semuanya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada mahu berjaya ataupun tidak.

“Usawahan yang berjaya kena berusaha dan berani menaampilkan diri…

Jika kita hanya mengharapkan kerajaan semata-mata maka kita tidak akan ke mana-mana.

“Tanpa integriti atau keyakinan diri, kaedah apa pun kita gunakan, kita tidak akan berjaya dalam membimbing usahawan melainkan mereka ada kemahuan itu sendiri,” tegasnya.

Dalam ucapan pelancaran BUS di Perpustakaan Tanjung Aru petang tadi, Yakub menyeru para usahawan di dalam BUS agar menerokai bidang ataupun produk-produk baharu yang alternatif dan sesuai dengan pasaran dunia pada masa kini.

Beliau menjelaskan bahawa ia agar perniagaan dan produktiviti terus relevan dan berdaya saing serta maju seperti pertanian, perladangan, perkhidmatan, kejuruteraan, kesenian, multimedia dan lain-lain.