KOTA KINABALU, SABAH – Pihak pengurusan Centre Point Sabah (CPS) memilih untuk mengutamakan penyambungan ‘nyawa’ operasi pusat beli belah tersebut dari menyambung jejantas Sky Bridge buat masa sekarang.
Satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini menjelaskan bahawa pandemik COVID-19 telah menjejaskan hasil jualan dan seterusnya pendapatan lebih 400 penyewa kedai CPS.
Pengurus Besar CPS, Megan Liu berkata pihaknya telah pun berunding dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkenaan perkara tersebut.
“Terdahulu, pihak pengurusan sudah mengetepikan peruntukan khas bagi projek ini namun berlakunya kekangan ekoran pandemik yang mengakibatkan rebat berjumlah RM 1.44 juta diedarkan kepada penyewa-penyewa bagi mengurangkan bebanan mereka…
“Selain daripada itu, peruntukan tersebut juga digunakan bagi program ‘food bank’, kempen derma darah dan penajaan kepada petugas barisan hadapan (frontliners),” jelasnya.
Dalam pada itu, Megan juga menekankan bahawa ianya tidak menguntungkan jika keutamaan diberikan kepada kerja-kerja penyambungan jejantas dalam masa terdekat ini melihat kekurangan pelancong dan kemelesetan ekonomi.
“Kami juga berharap agar Kerajaan Negeri ataupun DBKK boleh menyumbang kepada kerja-kerja pembinaan…

“Tetapi lebih baik kita alih perhatian kepada keadaan hospital kita di Sabah yang serba kekurangan bekalan katil dan oksigen.
“Projek utama CPS buat masa ini adalah untuk menderma tangki oksigen kepada hospital yang memerlukan.
“Sesiapa yang berminat untuk menderma boleh berhubung dengan bahagian pemasaran CPS, iaitu Puan Winnie atau Puan Zia, di talian 011-7412 8785 ataupun melalui emel kepada info@centrepointsabah.com,” katanya.
Kota Kinabalu Sky Bridge dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 3 September dan dibuka kepada orang awam seminggu selepas itu.
