Cubaan Seludup Keluar 8,000 Liter Minyak Petrol Digagalkan

Cubaan Seludup Keluar 8,000 Liter Minyak Petrol Digagalkan

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8000 liter minyak petrol di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, sini, 3.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata penahanan dibuat berikutan maklumat awam berkaitan berlaku aktiviti mencurigakan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem.

“Bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bersama pasukan darat untuk melakukan pemeriksaan dan serbuan.

“Hasil serbuan melalui laut dan darat telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga asing dari Filipina berusia diantara 20 hingga 70 tahun…

“Semasa serbuan, kesemua suspek didapati sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dan dipercayai bertujuan untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas dokumentasi bot kargo mendapati bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol.

“Sebuah bot kargo, sebuah lori bersama 40 tong drum dengan anggaran minyak petrol berjumlah 8000 liter turut dirampas…

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM286,400,” tambah beliau.

Kesemua suspek bersama barang rampasan ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.