Dapur Hal Ehwal Pelajar Bantu Pelajar B40

Dapur Hal Ehwal Pelajar Bantu Pelajar B40

0
SHARE
Juhar
Rozita (kanan) ketika membincangkan sesuatu kepada Tun Juhar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pelaksanaan Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah mampu membantu golongan pelajar daripada keluarga B40.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed berkata, Dapur HEP tersebut dapat membantu para pelajar kampus berkenaan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dalam membasmi kemiskinan ataupun membantu pelajar B40 di UiTM Cawangan Sabah kerana kalau kita lihat para pelajar di sini 100 peratus adalah bumiputera dan 70 peratus daripadanya adalah dalam kalangan B40.

“Apa yang kami cuba sampaikan ialah bagaimana YNJ dapat membantu dari aspek Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang telah dilancarkan oleh UiTM Sabah yang sudah setahun lebih di mana ia menjadi projek ikonik bagi seluruh institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia yang menjadi penanda aras,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Dalam pada itu, Rozita turut menjelaskan UiTM turut melancarkan satu projek untuk memberikan peluang pekerjaan semasa para pelajar belajar di UiTM iaitu melalui projek perniagaan My Social Enterprise Town (MySet) dan My Edu-Tourism Recreational Park (MyETR PARK).

Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan Penasihat Eksekutif Pertubuhan Prihatin Sejahtera Sabah (Prihatin-S), Datuk Ahmad Lakim serta rombongan.

Ahmad menjelaskan kunjungan tersebut bertujuan untuk memberi maklum fungsi dan objektif pertubuhan Prihatin-S tersebut.

“Pertubuhan Prihatin ini adalah untuk menyantuni lima kumpulan sasaran kami iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang kurang mampu, remaja terbiar dan yatim piatu.

“Lima komuniti tersebut menjadi sasaran kami dan pertubuhan kami merentasi fahaman agama serta tidak terlibat dengan parti politik dan bebas untuk menjadi ahli.

“Prihatin-S ditubuhkan pada november lepas dan setakat ini, hanya 10 orang termasuk majlis tertinggi selepas ini akan dibuka keahlian kepada orang ramai yang berumur 18 dan keatas dan borang keahlian adalah secara online kepada mereka yang menetap di Sabah,” katanya beliau.

Hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) Profesor Dr Imbarine Bujang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Dr Dg Ku Habibah Ag Kee, Timbalan Rektor Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni (HEA) Profesor Madya Dr Viduriati Sumin dan Yang Dipertua Pertubuhan Prihatin Sejahtera Sabah (Prihatin-S) Datuk Seri Dr Tengku Adlin Tengku Mahmood. —  JABATAN PENERANGAN SABAH