DBKK Akan Pinda Dasar Pengendalian Anjing Terbiar

DBKK Akan Pinda Dasar Pengendalian Anjing Terbiar

0
SHARE
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip DBKK ketika ditemui pemberita...

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya (DBKK) mengakui berlakunya peningkatan populasi anjing terbiar semasa pandemik dan sedang cuba memuaskan hati pencinta haiwan dan mereka yang inginkan keamanan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pihaknya sedang berusaha untuk meminda undang-undang kecil dan dasar sedia ada untuk memenuhi kehendak kedua-dua belah pihak terutamanya mereka yang tinggal di kawasan perumahan.

“Strategi Trap-Neuter-Return (TNR) dilihat tidak lagi berkesan kerana apabila anjing-anjing berkenaan dikembalikan ke tempat yang asal, akan menggeledah tong sampah atau mendatangkan ancaman kepada orang ramai.

“Tiada sesiapa yang menjaga mereka. Pada penghujung hari, mereka masih anjing liar. Kami tahu ada orang yang memberi makan dan kami berterima kasih atas semua bantuan yang diberikan itu.

“Tempat perlindungan anjing kami (di Jalan Pintas Ujana) hanya boleh menampung maksimum 20 ekor dalam suatu masa.

“Kami menggesa pencinta haiwan untuk datang dan membela mereka. Kami tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menempatkan semua anjing pada masa ini,” katanya…

Noorliza menambah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Robert Lipon telah bertemu dengan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi membincangkan kaedah terbaik dalam mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bersama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Society For The Prevention of Cruelty To Animals (SPCA) Sabah. Dengan itu, beliau menggesa lebih ramai untuk menghulurkan bantuan.

“Usaha untuk memadam stigma yang mengelilingi anjing adalah sesuatu sukar dengan kepelbagaian latar belakang orang ramai.

“Namun demikian, kami terbuka untuk bekerjasama dengan NGO yang boleh menyediakan pendidikan dan penempatan semula bagi anjing terbiar ini.

“Kami mempunyai kewajipan dan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat. Kami tidak boleh menggembirakan semua orang tetapi perlu mencari penyelesaian terbaik,” katanya sambil menambah DBKK telah menerima kira-kira 300 aduan berkaitan hal itu tahun ini.

Dalam pada itu, Noorliza menepis dakwaan pada media sosial yang mengatakan DBKK sengaja membuang anjing di tapak pelupusan sampah Kayu Madang untuk mati.

“Siasatan yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang bukti mengenai tuduhan ini. Ada juga yang mendakwa kami sengaja membuang anjing di beberapa kawasan perumahan tertentu. Ini juga tidak wajar bagi pihak kami.

“Kecuali untuk bangkai, kami tidak membuang anjing yang hidup. Malah, bangkai itu pun kami kuburkan…

“Anjing adalah makhluk yang suka berkeliaran. Mereka mungkin masuk ke kawasan perumahan dari hutan atau kampung berhampiran dan menyebabkan masalah yang sedang dihadapi,” katanya.