KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencipta sejarah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan pertama di negara ini yang merasmikan kerjasama dengan Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil pada Khamis lepas.
Kerjasama tersbut merangkumi tiga bidang utama iaitu maklumat pemilikan harta, maklumat pemegang lesen dan maklumat penyewa.
Matlamat utamanya adalah untuk mengukuhkan pengurusan kewangan dan memerangi jenayah kewangan dengan lebih berkesan, memastikan maklumat yang tepat dan terkini tersedia untuk kawalan dan pemantauan yang sistematik.
Sabin menegaskan bahawa MoU itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengawasan kewangan dalam DBKK.
“Melalui kerjasama ini, keupayaan bandar untuk mengesan dan menangani salah urus kewangan akan bertambah baik melalui penyepaduan data masa nyata, menjadikan pentadbiran lebih telus dan bertanggungjawab.
“Ini seterusnya akan meningkatkan kepercayaan penduduk Kota Kinabalu terhadap pengurusan DBKK,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah Perancangan dan Pembangunan DBKK, dan Penasihat Undang-undang NFCC Mohd. Syahrizal Shah Zakaria bersama-sama pegawai kanan dari DBKK dan NFCC.
Perjanjian itu turut menandakan permulaan kerjasama jangka panjang yang akan meningkatkan kesejahteraan bandar sambil memastikan perlindungan berterusan keadilan kewangan dan ketelusan untuk manfaat masyarakat dan negara.
Sementara itu, Shamshun berkata inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan pengurusan dalaman DBKK tetapi juga berpotensi untuk dijadikan model kepada PBT lain di seluruh negara.
“Dengan strategi perkongsian data yang mantap, DBKK akan terus menegakkan integriti dan meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus bandar.
“Langkah ini mencerminkan komitmen DBKK untuk memastikan semua aspek pengurusan kewangan dan kawalan jenayah dijalankan dengan disiplin dan pematuhan, selaras dengan objektif NFCC untuk mengurangkan ancaman jenayah kewangan,” katanya.
Tambahnya, kerjasama itu dijangka mencetuskan peluang kerjasama jangka panjang yang lebih berkesan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan ketelusan kewangan secara mampan.