KOTA KINABALU: Dua insiden kebakaran berlaku hampir serentak di pusat bandar Kota Kinabalu awal pagi tadi membabitkan Dewan Masyarakat Kota Kinabalau dan kawasan tempat letak kereta The Shore.
Kebakaran pertama dikesan pada jam 12.44 tengah malam di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, melibatkan kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 80 peratus daripada bangunan seluas 70×60 kaki.
“Seramai 25 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang dikerah ke lokasi.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.41 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.08 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan,” menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Hanya sejam selepas itu, satu lagi kebakaran berlaku di tapak bangunan The Shore sekitar jam 1.57 pagi.
Walau bagaimanapun, kebakaran kecil melibatkan barangan pembinaan di tingkat lima kawasan parkir bangunan tersebut.
“Dua lelaki yang terperangkap dalam lif berjaya diselamatkan dan diberi rawatan akibat sesak nafas.
“Kebakaran berjaya dikawal dalam masa sejam oleh 19 anggota dari BBP Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang,” sumber berkata.
Kedua-dua insiden dalam siasatan pihak berkuasa namun tiada kecederaan serius dilaporkan bagi kedua-dua kejadian.






