LAHAD DATU, SABAH – Polis Lahad Datu menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu dalam dua operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di sekitar Kampung Puyut.
Dalam tangkapan pertama, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri, dan pemeriksaan menemui syabu seberat 5.65 gram dipercayai untuk tujuan bekalan serta peralatan berkaitan.

Suspek didapati positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi kedua pada hari yang sama, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun ditahan dengan rampasan syabu seberat 0.38 gram, turut didapati positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Dalam sebuah kenyataan, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata operasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah di daerah tersebut.






