DULU HAMPIR MUSNAHKAN KWAP, KINI UMNO MAHU HANCURKAN KWSP – MP PKR

DULU HAMPIR MUSNAHKAN KWAP, KINI UMNO MAHU HANCURKAN KWSP – MP PKR

0
SHARE
Hassan Abdul Karim...

KUALA LUMPUR – Ahli parlimen PKR, Hassan Abdul Karim mendakwa UMNO ketika ini mahu “menghancurkan” Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini susulan daripada desakan berterusan yang dibuat oleh UMNO agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang caruman sekali lagi ketika ini.

Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, dahulu pemimpin UMNO juga yang “hampir memusnahkan” Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kakitangan awam apabila RM4 bilion lesap setelah dipinjamkan kepada 1MDB.

Dakwanya lagi, pemimpin-pemimpin UMNO kini berusaha hendak menghancurkan pula wang simpanan persaraan pekerja swasta dalam KWSP.

“Pemimpin Melayu jenis apa pemimpin-pemimpin Umno sekarang ini?

“Dari presiden UMNO hingga ke ketua pemudanya mahu memperjudikan wang pencen pekerja swasta dalam KWSP kononnya atas alasan hendak bantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

“Adakah pemimpin UMNO sudah bangkrap idea?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini yang merujuk kepada gesaan UMNO yang berterusan ketika ini agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang pencarum menerusi i-Citra.

Memetik laporan Malaysia Kini, antara pemimpin yang giat membuat gesaan berkenaan ialah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas presiden UMNO Najib Razak.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas presiden UMNO Najib Razak…

Pinjaman RM4 bilion dimaksudkan Hassan merujuk kepada jumlah dana KWAP dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) – bekas anak syarikat 1MDB – membabitkan Najib, sekitar 2011 hingga 2012, yang didakwa bekas perdana menteri itu untuk tujuan pelaburan.

Mahkamah mendapati Najib selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada KWAP kepada SRC.

Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC, dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah gagal di peringkat Mahkamah Rayuan.

Najib masih dibicarakan untuk kes-kes lain berkaitan 1MDB.

Kata Hassan, negara kini seperti memikul ‘biawak hidup’ kerana terpaksa membayar berbilion ringgit setahun untuk melunaskan hutang RM30 bilion angkara perbuatan ‘pemimpin tertinggi UMNO’ pada ketika itu dan konco-konconya dalam skandal 1MDB.

“Jika tidak ada skandal 1MDB negara akan ada wang untuk bantu rakyat akibat bencana banjir seperti yang berlaku sekarang… 

“Adakah pemimpin UMNO sedar dan insaf hakikat itu?” soalnya.

Difahamkan setakat ini, tiada sebarang kebenaran untuk pengeluaran i-Citra untuk pencarum KWSP.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata hampir 50 peratus (50%) atau enam juta pencarum tidak akan mendapat manfaat pengeluaran berkenaan kerana mempunyai baki caruman kurang RM10,000, yang mana 74 peratus (74%) daripada jumlah itu ialah BUMIPUTERA.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz…

Dia turut mempertikaikan niat pihak yang mendesak pengeluaran tambahan KWSP. 

Perdana Menteri Ismail Sabri juga berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai dan bantuan kos membaiki atau membina rumah, yang disifatkannya boleh menbantu mangsa banjir tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob…