DUN Sabah: ADUN Kuamut Gesa Percepat Kompleks Sukan, Internet Luar Bandar dan...

DUN Sabah: ADUN Kuamut Gesa Percepat Kompleks Sukan, Internet Luar Bandar dan Jalan Raya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap keperluan asas rakyat luar bandar termasuk pembinaan kompleks sukan, peluasan liputan internet serta pembinaan jalan raya di kawasan pedalaman khususnya di daerah Tongod.

Masiung menekankan keperluan mendesak pembinaan kompleks sukan di kawasan Tongod, khususnya bagi memenuhi keperluan belia di daerah itu yang menurutnya memiliki potensi besar dalam bidang sukan.

Beliau berkata, kejayaan atlet luar bandar dalam kejohanan seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) membuktikan bakat belia pedalaman walaupun berdepan kekurangan kemudahan asas.

“Ramai atlet juara datang dari luar bandar seperti Tongod walaupun tiada kompleks sukan. Ini membuktikan keperluan mendesak kemudahan tersebut untuk bakat belia,” katanya ketika membahas Belanjawan 2026 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Masiung turut menyuarakan sokongan terhadap program kementerian yang menyediakan akses internet luar bandar melalui inisiatif Starlink, sambil mencadangkan supaya pelaksanaannya diperluas ke setiap kampung.

Menurut beliau, kemudahan internet amat penting dalam membantu pelajar mendapatkan akses pembelajaran digital, sementara pelaksanaan program sedia ada dilihat bersifat sementara dan perlu diperhebatkan sehingga meliputi lebih banyak kawasan pedalaman.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan jalan raya di Kuamut yang disifatkan sebagai keperluan mendesak penduduk setempat yang masih bergantung kepada pengangkutan bot.

“Kos pengangkutan melalui bot sangat tinggi dan membebankan penduduk. Ini isu yang telah lama dibangkitkan dan perlu penyelesaian segera,” katanya.

Beliau turut meminta perhatian terhadap pembinaan jalan ke beberapa kampung di Kuamut selain menuntut penyelesaian segera isu bekalan elektrik ke Kampung Masaum dan kawasan sekitarnya, yang menurutnya masih belum disalurkan walaupun tiang elektrik telah didirikan sejak bertahun-tahun lalu.

Mengakhiri perbahasannya, Masiung menegaskan bahawa segala pengorbanan rakyat dan pemimpin harus dihargai demi memastikan Sabah terus maju, aman dan stabil dari segi politik.

“Negeri ini adalah amanah generasi muda. Kita wajib mengurus dan membangunkannya sebaik mungkin agar mereka dapat meneruskan kepimpinan tanpa beban pada masa hadapan,” katanya.