DUN Sabah: RUU Perbekalan Tambahan 2025 Lebih RM1 Bilion Diluluskan

DUN Sabah: RUU Perbekalan Tambahan 2025 Lebih RM1 Bilion Diluluskan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 berjumlah lebih RM1 bilion, bagi memastikan kelancaran operasi pentadbiran kerajaan negeri sehingga hujung tahun ini.

RUU tersebut mendapat sokongan penuh selepas dibahas oleh 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan diluluskan sebulat suara dalam persidangan yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Datuk Richard Yong We Kong.

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan usul tersebut semalam berkata, peruntukan tambahan ini diperlukan bagi menampung enam kategori utama perbelanjaan, dengan RM600 juta atau 51 peratus daripadanya disalurkan kepada Kumpulan Wang Berkanun.

Lima kategori lain yang menerima peruntukan ialah, Perbelanjaan Pentadbiran: RM204 juta; Perbelanjaan Operasi: RM195 juta; Pemberian Dalam Negeri: RM84 juta; Tujuan Pelaburan: RM54.4 juta; dan Peruntukan Khas: RM50.7 juta.

Menurut Masidi, langkah ini penting bagi memastikan semua komitmen kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan, termasuk pelaksanaan program pembangunan serta pemberian bantuan kepada rakyat.

RUU tersebut mendapat perhatian serius dalam dewan, apabila dibahaskan secara aktif oleh wakil rakyat daripada pelbagai kawasan termasuk Sindumin, Senalang, Nabawan, Moyog, Tungku, Lamag, Sulabayan, dan Bugaya.

Turut mengambil bahagian dalam perbahasan ialah ADUN Merotai, Sekong, Kapayan, Tanjung Aru, Telupid, Kukusan, Sungai Manila serta dua ADUN Dilantik, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan Datuk Amisah Yassin.

Kelulusan ini menjadikan jumlah keseluruhan bajet kerajaan negeri bagi 2025 meningkat ketara berbanding bajet asal yang dibentangkan pada penghujung tahun lalu.