KUCHING, SARAWAK – Empat menteri penuh Sarawak yang berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan mengunjungi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, kunjungan hormat tersebut bertujuan mendapatkan panduan kepimpinan tertinggi di Sarawak dan perhatian khusus yang perlu dilaksanakan dalam Kerajaan Persekutuan.
Fadillah memberitahu pemberita mereka juga diberi taklimat berhubung status Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dan peranan Ahli Parlimen GPS sebagai anggota.
Fadillah juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, perjumpaan itu juga membincangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen menghadiri taklimat agensi kementeriannya.