KOTA KINABALU, SABAH – Empat suspek lelaki termasuk dua warganegara Filipina yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di sini diberkas dalam dua serbuan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata pihaknya telah menerima sebanyak dua laporan daripada syarikat berkenaan pada Khamis dan Jumaat dengan anggaran kerugian sekitar RM51,500.
Katanya, hasil daripada maklumat yang diperolehi, sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu melancarkan beberapa siri serbuan.
“Dua lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an berjaya ditangkap pada kira-kira pukul lima pagi Khamis di tepi jalan kawasan penempatan Telipok, Menggatal.
“Barang kes dalam simpanan suspek berupa kabel perak serta tembaga yang telah dibakar untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang.
“Hasil pengakuan dan pendedahan kedua-dua suspek telah membawa pihak polis ke tempat pembeli hasil kabel curi tersebut bertempat di sebuah rumah tidak bernombor di Telipok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata pihak polis kemudiannya bertindak menangkap seorang warganegara Filipina yang merupakan pekerja di premis berkenaan.
“Lebih kurang jam 12 tengahari Jumaat, seorang lagi suspek warganegara Filipina berjaya ditangkap di kawasan semak berhampiran Jalan Kebajikan, Kota Kinabalu. Seorang lagi rakan sejenayahnya telah berjaya melarikan diri.
“Turut dirampas ialah beberapa gulung kabel yang telah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan oleh saspek untuk melakukan kegiatan mencuri kabel,” tambahnya.
Jelas beliau, dengan tertangkapnya keempat-empat saspek, pihak polis percaya kes kecurian kabel yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini telah berjaya dibendung dan menjurus kepada penyelesaian kes khususnya bagi daerah ini.
“Polis Kota Kinabalu menggesa orang ramai dan masyarakat untuk terus membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel agar penjenayah yang terlibat dapat diberkas dengan segera.
“Pihak polis bertegas untuk tidak berkompromi dengan sesiapa yang terlibat terutamanya pemilik dan pengusaha premis-premis besi buruk yang melanggar undang-undang dan bersekongkol dengan penjenayah dengan membeli kabel yang dicuri untuk mengaut keuntungan, kerana kabel tersebut merupakan barang kawalan,” katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 431a dan 379 Kanun Keseksaan.