KOTA KINABALU, SABAH – Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan I, Datuk James Ratib, berkata masanya sudah tiba bagi Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mewujudkan Enakmen Pertanian Negeri Sabah sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia untuk mencapai hasrat Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0: 2021-2025.
Katanya Artikel 74 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Sabah memiliki kuasa perundangan untuk menggubal undang-undang tentang perkara-perkara dalam Senarai Kedua (Senarai Negeri) dan Senarai Bersama (Senarai Ketiga) di bawah Jadual Ke-Sembilan.
“Memandangkan perkara pertanian disenaraikan sebagai butir ke-3 di bawah Senarai Negeri, elok sekali dan dengan kadar segera Kerajaan Sabah membentangkan Rang Undang-Undang Pertanian di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahaskan dan diluluskan sebagai enekmen…
“Ini penting supaya industri pertanian dapat diperkasakan dan disamping itu memberdayakan Jabatan Pertanian Sabah dalam pentadbiran dan pengurusan mereka dalam memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan efektif kepada rakyat jelata yang berkecimpung dalam bidang-bidang yang berkaitan,” katanya.
James, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, berkata demikian ketika menghadiri sesi pembentangan kertas kerja 1 bertajuk “Pengasingan Kuasa-Kuasa Perundangan Diantara Persekutuan dan Negeri Sabah Menurut Perlembagaan Persekutuan” bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Jabatan Pertanian Sabah Ke-39 di Magellan Sutera Harbour Resort di sini pada Khamis (8 April).
Kertas kerja tersebut dibentangkan oleh Pegawai Penasihat Pembantu Menteri 1 Pertanian dan Perikanan Tuan Jeremiah Yee sempena Mesyuarat Tahunan Jabatan Pertanian Sabah ke-39 di Magellan Sutera Harbour di sini pada April 8.
“Sabah seharusnya membuat Enakmen sendiri,” kata James.
“Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, Jadual Kesembilan, Senarai Kedua, ada dinyatakan bahawa “Pertanian” adalah “State Matters…
“Maksud “Pertanian” ini adalah luas termasuk beras, baja, benih, racun pertanian dan sebagainya. Sebagai contoh, jika Sabah hendak membuat Enakmen Beras, terlebih dahulu perlu diwujudkan semula Lembaga Padi Sabah. Ini bertujuan supaya ianya boleh mengambilalih peranan yang dimainkan oleh BERNAS.
“Enakmen untuk lain2 tanaman atau yang berkaitan dengan “Pertanian” juga boleh dibuat mengikut keperluan, sebab ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa Jadual kesembilan, Senarai Kedua, “Pertanian” adalah “State Matters”,” katanya.
James berkata dari segi perundangan, terdapat beberapa percanggahan kandungan yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dengan Laporan Inter-Governmental Committee (IGC) and sekiranya ingin membuat perbahasan ke atas perkara ini, ianya tidak boleh dibuat oleh pegawai-pegawai kerajaan tetapi harus dibuat oleh Kerajaan Negeri.
“Jabatan Pertanian Negeri belum ada Enakmennya sendiri. Buat masa ini, Sabah masih menggunapakai Akta daripada Semenanjung Malaysia yang dibuat berdasarkan Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.
James juga menyeru agar kerajaan GRS memberikan anugerah bintang kebesaran kepada kakitangan awam kerajaan yang cemerlang yang bertungkus lumus bekerja menaikkan nama kerajaan GRS dengan melaksanakan pelan pembangunan SMJ.