PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat enam negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) bagi kes COVID-19 melebihi 50 peratus.
Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan angka tertinggi dengan 77 peratus daripada 26 katil, Kelantan (75 daripada 48 katil), Johor (66 peratus daripada 56 katil), Selangor (62 peratus daripada 86 katil), Melaka (59 peratus daripada 32 katil) dan Pulau Pinang (51 peratus daripada 49 katil).
“Bagi katil bukan ICU, 12 negeri menunjukkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (107 peratus), Selangor (103 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus), dan Perak (86 peratus).
“Ini diikuti dengan Melaka (84 peratus), Sarawak (81 peratus), Perlis (76 peratus), Terengganu (73 peratus), Kelantan (71 peratus), Johor (58 peratus), Pulau Pinang (56 peratus) dan Pahang (55 peratus).
Sementara itu, bilangan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan kepada 215 pesakit atau 25 peratus penggunaan.
“Sebanyak 1,521 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 634 kes atau 41.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 887 kes (58.3 peratus) adalah kategori 1 dan 2,” katanya.