KUDAT, SABAH – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner, Hamzah Ahmad memaklumkan bahawa ESSCOM akan melaksanakan Operasi Gasak Laut (Bagang) secara bersepadu di perairan daerah Kudat bermula Khamis ini.
Operasi tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perikanan Sabah (JPS).
Jelas beliau, operasi itu bertujuan untuk merobohkan bagang-bagang yang dibina secara haram di perairan Kudat.
“Berdasarkan hasil pemantauan pihak berkuasa mendapati pembinaan bagang-bagang haram semakin bertambah di perairan ini…
“Kita bimbang ia akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat khasnya di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, operasi itu akan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 48 (1)(j), Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (Pindaan 2007), Seksyen 11(3)(c), Akta Perikanan 1985 dan undang-undang lain yang berkaitan.
Menurutnya, pihak penguatkuasa TTS dan JPS akan mengeluarkan Notis Pengosongan dan Perobohan ke atas bagang-bagang haram semasa operasi itu dilaksanakan.
“Individu yang mempunyai bagang haram di perairan pantai timur Sabah dinasihatkan supaya segera mengosong dan merobohkan struktur berkenaan sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan struktur atau bagang haram di ESSZONE agar melaporkan segera ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau aplikasi Whatsapp nombor 011-63311072,” katanya.