ESSCOM Tahan 40 Individu Dalam Operasi Besar-Besaran di Tawau dan Kalabakan

ESSCOM Tahan 40 Individu Dalam Operasi Besar-Besaran di Tawau dan Kalabakan

0
SHARE

TAWAU: Seramai 40 individu termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan suspek kes narkotik, ditahan dalam Operasi Bersepadu besar-besaran yang dijalankan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama pelbagai agensi penguat kuasa di daerah Tawau dan Kalabakan, dari 24 hingga 26 Julai.

Operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 146 individu, 26 premis dan tiga kenderaan di kawasan panas termasuk jeti awam, pekan Kalabakan serta kawasan sempadan daratan dan perairan.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata seramai 21 PATI warga Filipina dan Indonesia diserahkan kepada Jabatan Imigresen atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala 19 lagi individu ditahan berkaitan kes narkotik termasuk dua suspek pengedar dadah.

“Turut dirampas ialah 125.64 gram syabu, 41 botol cecair ketum dan wang tunai RM950,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Sabah Electricity turut menjalankan operasi memotong sambungan elektrik haram yang menyebabkan kerugian dianggarkan RM750,000, manakala PDRM dan JPJ mengeluarkan 35 saman dan dua notis periksa kenderaan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Kejayaan operasi ini adalah sebahagian usaha berterusan membanteras penyeludupan, penyelewengan barang bersubsidi, serta penyusupan PATI yang menggugat keselamatan awam di Zon Selamat Sabah Timur. Tiada hari tanpa operasi,” tegas Victor.

ESSCOM turut merakamkan penghargaan kepada 254 anggota pelbagai agensi yang terlibat, dan menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM.