KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Edward Linggu berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhak mempertahankan syarat kemasukan penduduk Semenanjung Malaysia ke Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, malahan syarat kemasukan penduduk Malaya ke Sabah sudah dilonggarkan dari penggunaan pasport ke penggunaan kad pengenalan.
“Ketika pelbagai hak Sabah dan Sarawak belum ditunaikan, amat menyedihkan bila ada lagi pemimpin Semenanjung yang mahu menghakis hak perlembagaan dalam frasa tertentu MA63,” katanya.
Linggu mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli melahirkan reaksi yang senada dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berhubung syarat kemasukan penduduk Malaya ke Sabah.
Menurut Linggu, apa yang telah ditandatangani dalam MA63 hendaklah disempurnakan tanpa memikirkan sebarang niat untuk menghapuskannya…
Linggu menegaskan, syarat kemasukan ke Sabah terkandung dalam dasar Borneonisasi MA63 termasuk hak 35 peratus perwakilan Borneo dalam parlimen Malaysia serta hak 40 peratus agihan kutipan hasil Persekutuan di Sabah.
Linggu berkongsi reaksi Masidi ke atas Senator Razali Idris yang bertanya di Dewan Negara, adakah kerajaan berhasrat memansuhkan syarat kemasukan ke Sabah dan Sarawak kerana penduduk Borneo itu bebas masuk ke Semenanjung.
Linggu yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menegaskan, ketika ini masih timbul pelbagai tuntutan dua wilayah Borneo ke atas hak perlembagaan dalam Malaysia.
Sebagai contoh katanya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan sedang mempersiapkan butiran hak 35 peratus perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen Malaysia berdasarkan MA63.
“Mengikut hak perwakilan MA63, Parlimen Malaysia yang pada ketika kini mempunyai 222 kerusi seharusnya memiliki 78 perwakilan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Melalui pindaan perlembagaan ke atas 35 peratus perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, Sabah berharap dapat mentadbir kerajaan mengikut perlembagaan tanpa gangguan hakisan hak.





