Ewon Cadang Anugerah BKD, Pembiayaan Pengajian BKD UPSI Dengan Kerjasama YBR

Ewon Cadang Anugerah BKD, Pembiayaan Pengajian BKD UPSI Dengan Kerjasama YBR

0
SHARE
Ewon
Ewon meletakkan buku sebagai simbolik pelancaran Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6. Turut kelihatan Rita (kanan), Philip (dua dari kanan) dan Raisin ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PENAMPANG, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya anugerah Bahasa Kadazandusun (BKD) dan pembiayaan pengajian BKD di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diperkenalkan tahun depan.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, anugerah BKD itu dicadang diberikan kepada guru-guru atau mereka yang telah berusaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun sehingga diangkat sebagai satu mata pelajaran di sekolah dan peringkat universiti.

“Cadangan kedua saya ialah memperkenalkan pembiayaan atau biasiswa kepada pelajar yang mengikuti pengajian BKD di UPSI.

“Kita tahu ramai pelajar daripada Sabah akan mengikuti pengajian di UPSI dan sudah tentu memerlukan pembiayaan pengajian sama ada PTPTN, biasiswa daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada Yayasan Bank Rakyat (YBR), saya berpendapat yayasan ini boleh menyediakan bantuan kepada bakal graduan di UPSI bagi pengajian BKD,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun dan Majlis Pelancaran Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6, di ITCC Penampang, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Raisin Saidin, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Aminah Awang Besar, Pengarah IPG Kampus Keningau Doti Asing dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) Rita Lasimbang.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, cadangan pemberian biasiswa kepada pelajar UPSI adalah sebagai sokongan kepada universiti berkenaan melahirkan guru-guru BKD berkualiti terutamanya di sekolah menengah.

Mengenai anugerah BKD, beliau mencadangkan supaya pemberian anugerah kepada para pejuang BKD diberikan sempena Karnival Bahasa Kadazandusun pada tahun depan.

“Kementerian saya melalui YBR sudah pasti boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang anugerah itu.

“Saya fikir wajar untuk pimpinan dan juga kerajaan memberikan penghargaan kepada guru-guru atau pihak yang terlibat memperkasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun sehingga diangkat sebagai satu mata pelajaran di sekolah dan peringkat universiti,” katanya.