KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, mencadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk parti itu menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut Ewon, cadangan tersebut dibuat bagi memperkukuh penonjolan semangat kenegerian Sabah dalam kempen PH, namun perkara itu masih di peringkat perbincangan dalam kalangan kepimpinan gabungan berkenaan.
“Kita mahu PH mempunyai penonjolan kepada semangat Sabah, dan sebab itu UPKO mengemukakan syor untuk menggunakan logo sendiri. Saya percaya rakan-rakan pimpinan PH memahami apa yang telah disuarakan berkaitan dengan pemakaian logo ini,” katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau menegaskan, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan perkara tersebut hanya akan diumumkan selepas dibincangkan serta diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH.
“Bagi saya, apabila ia masih dibincangkan, biarlah ia dibincangkan dan diputuskan dulu. Apabila sudah ada keputusan, barulah kita maklumkan,” jelasnya.
Ewon berkata demikian sebagai mengulas desas-desus bahawa UPKO akan bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Sabah yang semakin hampir.
UPKO merupakan salah satu komponen utama dalam Pakatan Harapan Sabah bersama PKR, DAP dan Amanah.
Cadangan penggunaan logo sendiri itu dilihat sebagai langkah memperkukuh identiti serta keunikan PH Sabah, seiring aspirasi autonomi dan semangat “Sabah untuk Sabahans” menjelang PRN ke-17 nanti.
Pada 6 Oktober lalu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa pihaknya akan bermesyuarat pada 16 Oktober ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN Sabah.






