Suara Anak Muda Tidak Hanya Didengar, Tapi Diangkat Jadi Tindakan dan Dasar...

Suara Anak Muda Tidak Hanya Didengar, Tapi Diangkat Jadi Tindakan dan Dasar – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri bukan sekadar mendengar suara anak muda, tetapi mengangkatnya menjadi dasar dan tindakan nyata demi masa depan Sabah yang lebih gemilang.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook rasminya selepas menyempurnakan Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 yang berlangsung pada Sabtu.

“Anak muda Sabah adalah suara perubahan, dan kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan pembangunan mereka sebagai tunjang masa depan negeri,” ujar beliau.

Program tersebut telah menghimpunkan aspirasi, pandangan dan idea generasi muda dari seluruh negeri.

Hajiji turut mengumumkan dua inisiatif baharu kerajaan negeri bagi memperkukuh penglibatan belia dalam dasar dan hala tuju pembangunan Sabah.

Yang pertama, Majlis Tindakan Belia Sabah, akan ditubuhkan sebagai badan pelaksana yang memfokuskan kepada pembangunan serta kesejahteraan belia secara inklusif.

Yang kedua, Pemikir Muda Ketua Menteri, bakal menjadi platform khusus bagi anak muda menyalurkan pandangan dan cadangan mereka terus kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menegaskan, langkah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan suara generasi muda diterjemah menjadi keputusan dan tindakan dasar yang berimpak kepada masa depan negeri.

“Semua ini adalah bukti bahawa suara anak muda bukan hanya didengari, tetapi diangkat menjadi tindakan dan dasar. Kita akan terus memperkasakan belia Sabah untuk memastikan masa depan negeri ini dipenuhi dengan harapan, peluang dan kemajuan,” tegas Hajiji.

Dalam kenyataan sama, Hajiji turut berkongsi bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan lebih RM1.3 bilion bagi pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Lebih 12,000 pelajar Sabah menerima biasiswa daripada pelbagai latar belakang, manakala lebih 10,000 anak muda daripada keluarga kurang berkemampuan turut dibantu melalui Tabung Pendidikan Sabah,” jelasnya.

Katanya, pelaburan besar ini mencerminkan tekad kerajaan negeri untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu meneruskan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).