Bank Rakyat Salur Hampir RM2 Juta, Lebih 4,300 Penerima di Sabah Terima...

Bank Rakyat Salur Hampir RM2 Juta, Lebih 4,300 Penerima di Sabah Terima Manfaat

0
SHARE

KOTA BELUD: Bank Rakyat menyalurkan hampir RM2 juta melalui pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti dan Keusahawanan yang memanfaatkan lebih 4,300 penerima di Sabah sempena Mini Karnival Bank Rakyat yang berlangsung selama dua hari di Kadamaian Square, Kota Belud.

Majlis penutupan karnival tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang menyifatkan program itu sebagai platform penting memperkasakan ekonomi luar bandar melalui keusahawanan dan literasi kewangan.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuk inisiatif UNIpreneur bernilai RM67,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), RAKYATpreneur RM10,000 bagi usahawan asnaf, serta BaktiRAKYAT RM30,000 bagi menaik taraf laluan pejalan kaki di Hospital Kota Belud. 

Selain itu, Kebun Nuri Nutrisi bernilai RM19,825 disalurkan kepada SK Narinang bagi projek tanaman hidroponik, manakala bantuan asnaf berjumlah RM11,000 disampaikan kepada Masjid Kampung Siasai Dundau dan bantuan pelajar asnaf RM10,000 kepada SK Kuala Abai.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut menyalurkan sumbangan bernilai RM1.5 juta yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,500 pelajar melalui pelbagai program pendidikan termasuk Bantuan Awal Pengajian dan Tuisyen Rakyat di bawah Program Ehsan@KUSKOP.

Pada majlis sama, lima usahawan turut menerima cek cura Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) bernilai keseluruhan RM50,000.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, karnival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti keusahawanan, jualan MADANI, pameran agensi KUSKOP, derma darah, dan pertandingan mewarna Kelab NURI.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, UDA Holdings, SME Bank dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.