Wanita Kesal Dengan Suami, Cuba Bunuh Anak Tiri Guna Racun Tikus

Wanita Kesal Dengan Suami, Cuba Bunuh Anak Tiri Guna Racun Tikus

0
SHARE

INDONESIA: Seorang wanita Indonesia didakwa cuba membunuh anak tirinya dengan menggunakan racun tikus di sebuah kediaman di Jalan Dusun Siluang III, Tanjung Medan, Rokan Hilir di Riau pada Ahad lalu.

Menerusi sebuah video yang tular pada Rabu lalu, mangsa berusia 11 tahun dilihat menggelupur di atas lantai selepas diracun oleh ibu tirinya. 

Ketua Polis Daerah Rohil, Andrian Pramudianto berkata, suspek wanita yang berusia 36 tahun itu ditahan dan telah mengaku bersalah di mana suspek memberikan kopi yang dicampur dengan racun tikus kepada anak tirinya.

“Keluarga datang ke balai polis membawa suspek dan setelah disiasat, wanita itu mengakui telah memberikan kopi yang dicampur dengan racun tikus.

“Suspek bertindak demikian kerana kesal dengam suaminya yang tidak mahu pulang kampung ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu. 

“Motif dendam, jadi suspek ini berdendam dengan suaminya. Ketika raya, suspek mengajak suaminya pulang kampung, tetapi ditolak,” jelasnya.

Selain itu, katanya, suspek turut mengakui sepanjang empat tahun berkahwin dengan suaminya, dia sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mengatakan bahawa suaminya sering marah secara membuta tuli.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut atas cubaan membunuh dan akan didakwa mengikut Fasal 44 Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 Penghapusan Kekerasan Dalam Rumah Tangga dan Fasal 76C Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2014 Pindaan Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2002 Perlindungan Anak.

Suspek turut akan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun.