Parti Impian Sabah Jadi Parti Pertama Lancar Manifesto Menjelang PRN Sabah

Parti Impian Sabah Jadi Parti Pertama Lancar Manifesto Menjelang PRN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS) menjadi parti pertama di negeri ini melancarkan manifesto menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan 14 janji utama bagi memastikan kekayaan semula jadi Sabah dinikmati oleh rakyatnya sendiri.

Presiden PIS, Michel Alok berkata walaupun Sabah kaya dengan sumber asli, hasil kekayaan itu selama ini lebih banyak dirasai oleh pihak luar dan pemimpin korup.

Beliau berkata PIS berhasrat mengembalikan keadilan dan integriti dalam pentadbiran, sambil menegaskan bahawa parti itu satu-satunya di Sabah yang telah mengangkat sumpah antirasuah di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Michel berkata parti itu telah mengenal pasti 70 calon dan berhasrat bertanding di semua 73 kerusi DUN, terdiri daripada calon pelbagai peringkat umur termasuk wanita serta wakil 11 etnik tempatan dan berketurunan Indonesia serta Filipina.

Beliau berkata reformasi ekonomi akan menjadi fokus utama PIS, dengan matlamat mengubah struktur ekonomi sedia ada daripada bentuk segitiga kepada bentuk “berlian” dengan memperkukuh golongan pertengahan dan mengurangkan B40.

Michel turut mendedahkan beliau telah bertemu dengan empat presiden parti tempatan bagi membincangkan kerjasama selepas pilihan raya untuk menyatukan parti-parti tempatan Sabah.

“Selepas pilihan raya, tidak kira keputusan, kita perlu duduk semeja dan bekerjasama demi rakyat Sabah. Ini bukan soal gabungan, tetapi usaha bersama untuk masa depan negeri,” katanya.

Beliau optimis PIS mampu meraih majoriti dua pertiga, sambil menegaskan bahawa rakyat kini mahukan pemimpin yang bersih, ikhlas dan membawa budaya politik baharu.