G57 Harap Kerjasama GRS, PH Dapat Dimuktamadkan

G57 Harap Kerjasama GRS, PH Dapat Dimuktamadkan

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (Sumber Foto: Ihsan G57)

KOTA KINABALU, SABAH -Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) optimis Komponen Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijangka tidak mempunyai masalah menang bergaya pada pilihan raya negeri Sabah ke-17 akan datang.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kerjasama rapat dengan dua badan bebas di Sabah telah menilai prestasi Hajiji termasuk pencapaian kerajaan GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Hasil yang boleh dirumuskan setakat ini ialah Hajiji jauh mengatasi dua pemimpin yang mahu merebut jawatan iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“G57 juga berharap agar kerjasama diantara GRS dan PH dapat dimuktamadkan memandangkan undi bagi kawasan suku kaum majoriti Cina dilihat sehingga kini masih cenderung kepada PH.

“Setakat ini, rakyat Sabah secara keseluruhannya amat berpuas hati terhadap prestasi Hajiji,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan negeri Sabah telah berjaya membawa masuk pelabur asing bernilai hampir RM 20 billion lebih ke Sabah sekaligus melahirkan peluang pekerjaan kepada ribuan anak-anak Sabah.

“Di bawah kepimpinan Hajiji, negeri Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.175 bilion setakat suku ketiga tahun 2023 yang merangkumi pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadikan Sabah negeri ke-5 tertinggi di Malaysia menerima pelabur luar.

“Manakala pada 2022, Sabah berjaya menarik RM11.5 bilion dalam projek pelaburan.

“Sabah juga telah menerima pelaburan dari Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd bagi pembangunan sebuah kilang bersepadu klinker dan simen di daerah Tongod dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM1.11 bilion, bagi fasa pertama pelaburan,” katanya.

Zulkarnain berkata masalah utama yang masih membelenggu rakyat negeri Sabah sudah tentu keadaan jalan raya dan bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

“Tetapi melihat kepada perancangan jangka masa panjang kerajaan negeri Sabah, G57 yakin ketiga masalah ini akan berjaya di atasi.

“Harus diingat negeri Sabah jelas ketinggalan 26 bulan kebelakang, ini disebabkan kegagalan Parti Warisan Sabah mengurus tadbir negeri ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata dari bulan Mei 2018 sehingga Jun 2020, tidak ada satu pun pelabur luar yang berjaya dibawa masuk ke Sabah.

“Kadar KDNK juga jatuh menjunam dari 8.2 peratus kepada 0.5 peratus.

“Masalah pengurusan pembaikan dan pembinaan jalan raya, air dan elektrik juga gagal diurus dengan baik oleh kerajaan Warisan dahulu, justeru kerajaan GRS dan PH dilihat telah cuba memecut sepantas yang boleh membangunkan negeri Sabah.

“Namun misi ini dianggap mustahil dijayakan tanpa sokongan rakyat Sabah sendiri,” katanya.