Gadis 18 Tahun Disyaki ‘Bookie’ Piala Dunia Ditahan

Gadis 18 Tahun Disyaki ‘Bookie’ Piala Dunia Ditahan

0
SHARE

KUCHING – Seorang gadis berumur 18 tahun termasuk seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit sebagai ‘bookie” dalam pertaruhan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 dan ejen nombor loteri tanpa lesen.

Ketua Polis Padawan, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek terbabit ditahan polis dalam serbuan di Matang Jaya, Kuching, bermula 3.45 petang semalam.

Dalam serbuan pertama, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menahan gadis itu di sebuah kedai makan.

Jelas beliau, suspek mengaku bekerja sebagai ejen judi pertaruhan atau “bookie” serta ejen menjual nombor loteri tanpa lesen.

“Polis turut merampas dua unit telefon, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang tunai berjumlah RM420,” katanya.

“Dalam serbuan kedua di sebuah gerai buah-buahan pada 4.45 petang, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun. Suspek turut dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen jual nombor loteri tanpa lesen.

“Polis merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM540,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.