Gagal Kawal Penularan Kes COVID-19, Puluhan Pegawai Dikenakan Hukuman

Gagal Kawal Penularan Kes COVID-19, Puluhan Pegawai Dikenakan Hukuman

0
SHARE

BEIJING, CHINA – Badan Disiplin China semalam memaklumkan seramai puluhan pegawai telah dihukum kerana gagal untuk mengawal penularan COVID-19 di Xi’an, iaitu bandar yang dikenakan perintah berkurung (lockdown) baru-baru ini.

Memetik laporan AFP, China ketika ini dalam langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan baharu, seiring persiapan menganjurkan temasya Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada Februari ini.

Strategi sifar-COVID yang mengetatkan sekatan di sempadan, tempoh kuarantin panjang dan perintah berkurung bersasar membolehkan negara penduduk teramai itu mengurangkan kes COVID-19 pada kadar paling minimum.

Bagaimanapun, jumlah kes mula meningkat beberapa minggu ini dengan Xi’an dikenakan perintah berkurung pada Khamis lalu, meletakkan 13 juta penduduknya di rumah, perniagaan ditutup dan siri ujian saringan besar-besaran.

Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat semalam memaklumkan 26 pegawai sudah dihukum kerana “tidak cukup tegas dalam mencegah dan mengawal wabak”.

Pegawai yang dianggap gagal mengawal wabak di wilayah mereka berdepan tindakan tegas termasuk dipecat.

Pemeriksaan di Xi’an pula mendedahkan terdapat kelonggaran dalam tindakan dan ujian yang tidak diselaras hingga menyukarkan pengesanan kontak.

Xi’an merekodkan 49 kes setakat 24 Dis 2021 yang mana menjadikan keseluruhan lebih 250 kes dalam beberapa minggu ini.

Media tempatan turut melaporkan bahawa kes dari Xi’an sudah menular ke lima bandar lain termasuk Beijing yang mencetuskan kebimbangan betapa pantasnya virus itu merebak.