KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah memerlukan reformasi menyeluruh dan bukannya pembaikan bersifat kosmetik bagi memastikan ia kembali berfungsi sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri, kata Pengerusi University College Sabah Foundation (UCSF), Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.
Beliau berkata, walaupun GLC ditubuhkan sejak era pentadbiran Tan Sri Harris Salleh untuk memacu perindustrian dan pembangunan ekonomi, banyak yang gagal mencapai matlamat tersebut.
“Beberapa GLC menunjukkan model ini boleh berjaya, tetapi yang lain pula membuktikan apa yang berlaku apabila tadbir urus dan pengawasan gagal,” katanya dalam program TV Teh Tarik Podcast.
Dr Yaakub menegaskan bahawa kegagalan banyak GLC berpunca daripada kelemahan tadbir urus, operasi tidak cekap, pengurusan kewangan lemah dan campur tangan politik tanpa merit.
“Masalah timbul apabila pelantikan dibuat semata-mata atas dasar politik tanpa mengambil kira kelayakan. Ia menjejaskan profesionalisme, kepercayaan awam dan prestasi jangka panjang,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan pemisahan peranan yang jelas antara Pengerusi, Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.
“Pengerusi mesti memberikan kepimpinan kepada lembaga dan memastikan akauntabiliti, manakala Lembaga Pengarah bertanggungjawab terhadap hala tuju, polisi, strategi dan pemantauan syarikat.
“CEO pula melaksanakan keputusan lembaga dan mengurus operasi harian mengikut dasar yang diluluskan,” jelasnya.
Bercakap mengenai usaha memperbaiki GLC, Dr Yaakub berkata: “Tidak boleh ada mindset ‘business as usual’.”
Beliau menegaskan bahawa reformasi mesti menyeluruh iaitu profesionalisme kepimpinan, tadbir urus, penyusunan kewangan, pembaikan operasi, pengurusan risiko, digitalisasi dan pematuhan ESG perlu berjalan serentak.
Beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan GLC Bebas bertaraf tinggi di bawah Pejabat Ketua Menteri bagi memantau prestasi, mengenal pasti jurang tadbir urus dan mencadangkan tindakan pembetulan.
Selain itu, beliau juga menyeru supaya GLC Sabah meneroka sektor strategik baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan aeroangkasa tanpa menjejaskan peranan sektor swasta.
“Langkah-langkah ini penting untuk memastikan GLC kembali relevan, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara mampan,” kata Dr Yaakub.
Bagi meningkatkan ketelusan, beliau mencadangkan penubuhan papan pemuka prestasi GLC yang boleh diakses awam.
“Penyenaraian GLC di pasaran saham boleh meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan keyakinan pelabur, tetapi perlu dipilih secara strategik, terutama untuk penggalangan dana, usaha sama atau penggabungan syarikat,” katanya.






