KUCHING, SARAWAK – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus (70%) pengundi akan keluar mengundi pada 18 Disember (Sabtu) ini.
Namun, dengan kempen yang terbatas, tanpa ceramah dan kempen secara massa, tentu sekali ia menimbulkan masalah tersendiri kepada parti serta calon, terutama muka baharu yang terlibat dalam PRN kali ini.
Pelbagai persolan mula wujud, antaranya yang utama adalah berapa kerusikah pembangkang dapat tawan dalam PRN-12 pada Sabtu ini dan adakah GPS yang dahulunya BN dapat mempertahankan 72 daripada 82 kerusi yang dimenanginya pada 2016?
Kini, jumlah parti dan calon bertanding meningkat. Selain BN, pada PRN 2016, parti yang bertanding ialah DAP, PKR, Amanah, Star, PBDSB, dan Pas.
Pada 2016, sebanyak 229 calon yang bertanding, termasuk 36 calon Bebas berbanding 349 calon kali ini, termasuk 30 calon bebas.
Memetik kenyataan Sarawak Voice, jumlah kerusi yang menyaksikan tiga, empat dan lima penjuru pula masing-masing bertambah. Kalau lima tahun lalu, tiada pertandingan enam penjuru, kali ini menyaksikan tujuh kerusi menyaksikan pertembungan sedemikian.
Malah, satu kerusi iaitu DUN Dudong dengan hampir 35,000 pengundi menyaksikan pertarungan sengit lapan penjuru, dengan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, mempertaruhkan imej dan kredibilitinya.
Berjuang atas pelbagai platform dan ideologi, pelbagai parti politik menampilkan jumlah calon berusia 55 tahun ke atas (254 daripada 349 calon dalam lingkungan usia itu) akan memastikan agenda perjuangan melalui manifesto masing-masing dapat menambat hati 1.25 juta pengundi pelbagai kaum di 82 kerusi DUN Sarawak.
Di atas kertas, meskipun berdepan kesukaran di 15 kerusi majoriti Cina di bandar dan beberapa kerusi majoriti Dayak, GPS pasti dapat menguasai lebih dua pertiga majoriti nanti.

Kecuali DAP dan PSB dan mungkin juga PKR, kemungkinan besar enam lagi parti lain termasuk PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan pulang tangan kosong.
Dijangka GPS akan memenangi minimum 65 kerusi dan maksimum 68 kerusi dalam PRN-12. Ini melebihi lebih dua pertiga majoriti.
Antara kerusi yang perlu diberi perhatian dan berdepan saingan sengit ialah Opar, Balai Ringin, Dudong, Tellian, Telang Usan, Ba Kelalan, Lingga, Engkilili, Batang Ai, Batu Lintang, dan Batu Kawah.





