Gunung Kinabalu Laluan Pendakian Tersibuk Di Dunia

Gunung Kinabalu Laluan Pendakian Tersibuk Di Dunia

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Dengan had pelawat yang diperkenalkan di Gunung Fuji Jepun pada musim panas ini, puncak tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu telah disifatkan sebagai laluan pendakian tersibuk di dunia.

Ini berdasarkan lebih 22,000 siaran Instagram setiap km laluan oleh syarikat pengembaraan Explore Worldwide.

Mendahului senarai pendakian paling banyak permintaan ialah Gunung Kinabalu, Explore Worldwide berkata puncak tertinggi di Borneo tidak memerlukan peralatan mendaki gunung walaupun pejalan kaki perlu cukup cergas untuk menempuh rupa bumi beraltitud tinggi.

“Ia adalah pendakian yang singkat, hanya 8.5km tetapi dengan lebih 22,000 muat naik siaran Instagram setiap km laluan, ia merupakan denai paling popular di dunia menurut media sosial.

“Pejalan kaki di denai ini suka berkongsi gambar pemandangan matahari terbit yang menakjubkan di puncak serta hutan hujan Gunung Kinabalu yang subur di bawah gunung.

“Pendakian ini menawarkan pejalan kaki peluang untuk melihat hidupan liar tempatan seperti burung hitam gunung atau tupai kerdil yang jarang ditemui di taman itu,” dedah Explore Worldwide.

Di tempat kedua dan ketiga bago denai pejalan kaki (hiking trail) paling sesak di dunia ialah Jejak Inca Peru dan Jejak Kalalau Hawaii dengan 6,723 dan 3,684 siaran Instagram setiap km laluan.

Angka siaran ini bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding Gunung Kinabalu.

Dari segi metodologi, Explore Worldwide berkata ia telah menyusun senarai komprehensif 132 laluan mendaki dan trekking yang popular dari seluruh dunia.

Maklumat telah dikumpulkan berdasarkan jarak setiap denai dalam kilometer serta bilangan siaran Instagram dengan hashtag denai itu.