SEBERANG PERAI, PULAU PINANG – Seorang remaja maut terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan salur kuasa dalam bas ekspres dinaikinya untuk perjalanan ke KL Sentral semalam.
Memetik sumber Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Anuar Abd Rahman berkata, pemandu bas melaporkan kejadian berlaku 10 minit selepas mangsa, Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas dari terminal bas Penang Sentral di Butterworth.
Anuar berkata seorang penumpang melaporkan jeritan kedengaran daripada mangsa yang didapati berbuih mulut.
Ambulans telah dipanggil, tetapi pegawai perubatan yang merawat mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan mayat di tempat kejadian mendapati kesan melecur di jari kirinya dipercayai akibat renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya,” katanya.
Hujung kabel yang digunakan mangsa cair dan alat pengecas terbabit turut panas.
Anuar berkata, pemeriksaan bedah siasat mengesahkan remaja itu meninggal dunia akibat renjatan elektrik.