SANDAKAN, SABAH – Seorang guru mengalami kerugian kira-kira RM2,000 selepas kenderaan yang dipandunya dirempuh lalu disamun seorang suspek di simpang masuk Jambatan Merah, Jalan Utara, sini pada Selasa.
Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa wanita berumur 47 memandu kenderaan bersendirian dari rumahnya ke sebuah sekolah menengah berhampiran tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata kereta mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Camry.
“Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan lalu turun dan bertemu dengan pemandu Toyota Camry (suspek) yang telah melanggar kenderaan mangsa.
“Walau bagaimanapun, suspek telah memukul mangsa dengan sebatang kayu namun mangsa sempat mengelak dan berlaku pergelutan.
“Suspek kemudian berjaya mendapatkan beg tangan mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Abdul Fuad berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan terus ke Balai Polis Sandakan untuk membuat laporan.
Pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek, dan memohon kepada orang awam yang mempunyai maklumat berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Kharuddin di talian 0139071709 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 392/297 Kanun Keseksaan.





