INDIVIDU TUNAIKAN UMRAH, KELUAR NEGARA SEBELUM 28 DISEMBER DIBENARKAN TERUS MASUK KE...

INDIVIDU TUNAIKAN UMRAH, KELUAR NEGARA SEBELUM 28 DISEMBER DIBENARKAN TERUS MASUK KE SABAH – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah yang pulang ke Malaysia dari menunaikan Umrah atau keluar negara sebelum 28 Disember 2021 lalu dibenarkan meneruskan perjalanan untuk kuarantin di Negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam satu kenyataan malam tadi berkata, namun ianya tertakluk kepada ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) yang disahkan negatif sebelum bertolak ke Sabah.

“Kerajaan Negeri akan menyediakan perkhidmatan Doktor Berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur secara percuma kepada rakyat Sabah (Warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021…

“Kerajaan Negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada mereka yang disahkan positif dan perlu menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur dan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah yang akan diselaraskan bersama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagi rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember 2021, sekembalinya ke Malaysia akan diwajibkan menjalani kuarantin 7 atau 10 hari di Kuala Lumpur.

Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya adalah ditangung oleh para jemaah umrah atau agen pelancongan umrah masing-masing.

Hajiji berkata Agen Pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuklah penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan.

“Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah (Warganegara Malaysia) yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri…

“Syarat-syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah dari masa ke semasa.

“Walau bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat Pihak Berkuasa Negeri yang sedia ada,” jelasnya.