JAKARTA, INDONESIA – Pesakit yang dijangkiti varian baharu Omicron alami keadaan hiperkoagulopati (satu keadaan tersumbat pada pembuluh darah yang mengganggu proses pertukaran oksigen) atau masalah darah beku, demikian yang berlaku kepada sebilangan pesakit virus berkenaan di Indonesia.
Memetik laporan CNN Indonesia, Dr. Sulianti Saroso yang merupakan seorang Ketua Gerak Kerja Penyakit Berjangkit Baru Muncul dan Muncul Semula di Hospital Penyakit Berjangkit berkata, pihaknya mengesahkan terdapat beberapa kes pesakit di negara itu yang melibatkan varian Omicron mengalami keadaan tersebut.
“Kami perlu memaklumkan bahawa ada beberapa kes yang disahkan sebagai varian Omicron yang mempunyai komorbiditi, di mana kami melihat terdapat tanda-tanda hiperkoagulopati mula muncul, walaupun pesakit itu tidak bergejala,” katanya.
Sementara itu, Sulianti berkata, pihaknya telah merawat beberapa pesakit sama ada yang telah disahkan atau disyaki dijangkiti varian Omicron daripada beberapa pemeriksaan yang diperoleh menerusi ujian ‘S Gene Target Failure’ (SGT).
Majoriti pesakit disahkan positif varian itu tanpa gejala dengan beberapa kes turut mengalami gejala ringan seperti batuk, hidung berair dan demam.
Kementerian Kesihatan Indonesia sehingga 29 Disember lalu menyatakan bahawa terdapat 68 kes Omicron di negara itu dengan kebanyakannya adalah kes import melibatkan 60 warga Indonesia yang melancong ke luar negara, tujuh warga asing dan satu kes penularan tempatan di Jakarta.





