JAKARTA, INDONESIA – Kementerian Pengangkutan Indonesia dalam satu kenyataan baru-baru ini melarang ketibaan pelancong asing untuk memasuki negara itu melalui lapangan terbang Jakarta.
Menurut kementerian tersebut, tindakan itu sebagai usaha untuk memperlahankan lonjakan jangkitan varian Omicron.
Negara Asia Tenggara itu menyaksikan peningkatan kes, dengan lebih 36,000 jangkitan direkodkan semalam dan kadar penggunaan katil di hospital di ibu negara sudah mencapai 63 peratus.
Langkah menghalang pelancong berkunjung ke Jakarta dibuat hanya beberapa hari selepas Bali mengalu-alukan penerbangan antarabangsa pertamanya untuk membawa masuk pelancong asing ke pulau itu.
Memetik laporan Reuters, kementerian itu turut menjelaskan bahawa peraturan baharu itu terpakai kepada pelancong asing dan rakyat Indonesia yang melancong ke luar negara untuk bercuti.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam di kementerian itu, Novie Riyanto, berkata keputusan untuk mengehadkan sementara ketibaan pelancong di Jakarta bertujuan untuk memperlahankan penularan COVID-19.
Pelancong yang terbang dari luar negara masih boleh tiba di lapangan terbang Bali, begitu juga di Batam dan Tanjung Pinang di Kepulauan Riau berhampiran Singapura.
Polis juga sudah melaksanakan perintah berkurung di pusat bandar Jakarta sejak tengah malam tadi hingga 4 pagi ekoran jangkitan yang terus meningkat.
Pihak berkuasa Indonesia sudah memberi amaran lonjakan kes yang didorong oleh varian Omicron, mungkin tidak memuncak sehingga akhir Februari.
Di sebalik kebimbangan itu, pulau peranginan Bali mengalu-alukan penerbangan dari Tokyo Khamis lalu membawa enam warga asing, kebanyakannya ejen pelancongan yang dibawa untuk memantau kesediaan pulau itu menerima kehadiran pelancong asing.
Bali secara rasmi dibuka kepada pelawat asing dari 19 negara pada Oktober lalu, tetapi tanpa penerbangan bukan kargo sehingga minggu lalu pelancong asing telah dihadkan.





