Info On Boat Inisiatif Baru Pemasaran Maklumat Kerajaan

Info On Boat Inisiatif Baru Pemasaran Maklumat Kerajaan

0
SHARE
Info on boat
Jainisah (kanan) memberikan penerangan kepada tetamu kehormat fungsi JaPen dan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) yang menjadi tempat rujukan masyarakat setempat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SEMPORNA, SABAH – Info On Boat merupakan inisiatif baharu dalam pemasaran maklumat kerajaan di perairan Sabah.

Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohd Norzam Mustapa berkata inisiatif hasil kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) ini mampu menjadi pemangkin dalam pembentukan masyarakat Madani.

“Kolaborasi Strategik APMM X JaPen menerusi program “Info On Boat” pada hari ini (semalam) yang juga merupakan kolaborasi strategik julung kali APMM Sabah & Labuan bersama JaPen.

“Masyarakat pasti mengenali JaPen dengan Info On Wheels, unit bergerak yang menjelajah hampir semua pelusuk daerah di negeri ini.

“Memandangkan kekuatan dan jangkauan APMM adalah di kawasan perairan negara, kolaborasi ini diwujudkan bagi memantapkan lagi tugas dan peranan menyebarluas maklumat dasar Kerajaan selain menumpu berkaitan carilamat dan kesedaran Undang-Undang Perairan, kolaborasi ini akan menjadi platform utama menjayakan usaha menyebar luas dasar dan kepentingan hebahan maklumat kerajaan kepada semua rakyat di negeri ini.

“Kerjasama APMM X JaPen ini diharap menjadi platform utama dalam menyebar luas dasar dan maklumat kerajaan bagi membina kesedaran dan mengukuhkan hubungan strategik agensi Kerajaan dikalangan komuniti maritim tempatan khususnya para nelayan, pemancing, pengusaha pelancongan, pekerja kapal, feri dan bot serta masyarakat yang tinggal di kawasan pesisir pantai akan kepentingan keselamatan di laut bagi mengelak kemalangan serta kehilangan nyawa dan memberi fahaman berkenaan penguatkuasaan undang-undang maritim”, jelas beliau.

Norzam berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Sahabat Maritim anjuran APMM dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan pusat di Kampung Pokas dekat sini, pada Ahad.

Pada majlis sama, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah Datuk Noor Alam Khan A Wahid Khan ketika ditemui turut menyatakan Info on Boat lebih memudahkan penyebaran maklumat secara terus dan tepat pada sasaran khususnya kawasan yang tidak tercapai oleh kenderaan darat.

“Info on Boat ini merupakan satu pendekatan yang berkesan dalam memasarkan maklumat kepada masyarakat khususnya di kawasan yang melibatkan pulau dan kawasan terpencil yang tidak dapat dicapai menggunakan kenderaan darat.

“Oleh sebab itu, kerjasama strategik antara JaPen dan APMM merupakan pendekatan yang sesuai untuk mendekati masyarakat yang tinggal di kawasan pulau dan perkampungan atas air.

“Dengan pendekatan ini juga. masyarakat dapat menyalurkan maklumat secara terus kepada kerajaan secara tidak langsung menjadi mata dan telinga agensi penguatkuasa”, tambah beliau.

Lebih 500 orang penduduk dari Kampung Pokas dan kampung sekitarnya hadir menjayakan program yang menyajikan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Igal, cabutan bertuah, kuiz keselamatan, tayangan wayang pacak, pameran agensi kerajaan dan aktiviti menderma darah.

Selain APMM, MKN dan JaPen, beberapa agensi turut terlibat dalam menjayakan program tiga hari bermula Jumaat iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Perikanan Sabah.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew, Pengarah Bahagian Kewangan dan Belanjawan APMM Datuk Barkhiya Shahiruddin, Pengarah Maritim Sabah Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik. — JABATAN PENERANGAN SABAH