Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Dua saksi kanak-kanak mendedahkan bahawa arwah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun pernah berulang kali mengatakan bahawa dia ingin mencederakan dirinya.
Peguam Joan Goh berkata, Zara didedahkan pernah mengeluarkan kenyataan seperti “Kalau saya lompat, di sini ada orang sayang saya kah?
“Kedua-dua saksi mendedahkan bahawa Zara mengeluarkan kenyataan seperti itu sudah lebih 10 kali,” katanya kepada media selepas selesai prosiding inkues hari ke-14 di sini pada Khamis.
Prosiding inkues bersama saksi kanak-kanak kedua itu turut mendedahkan catatan tulisan yang dipercayai milik arwah.
Saksi memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengenali tulisan pada catatan tersebut sebagai tulisan tangan Zara.
Dalam catatan itu, antara lain terkandung luahan perasaan seperti: “Ya Allah, kenapa aku dibenci? Kenapa aku tidak disukai orang-orang?”.
Menurut saksi, catatan berkenaan mengandungi aduan peribadi yang sebelum ini turut pernah dikongsikan sendiri oleh arwah.
Sementara itu, keterangan saksi kanak-kanak ketiga pada Khamis lebih menumpukan kepada suasana di asrama pada malam 15 Julai lalu, iaitu ketika Zara dipanggil ke sebuah dorm lain untuk disiasat berhubung kes kecurian.
Beliau menyatakan tidak melihat Zara menangis dan tidak mendengar sebarang tangisan sepanjang kejadian tersebut.
Hari ini mahkamah koroner mendengarkan keterangan daripada saksi kanak-kanak keempat dan kelima.
Setakat tengah hari ini, seramai empat saksi kanak-kanak sudah memberi keterangan daripada 35 saksi kanak-kanak keseluruhan.






