Isu Minyak dan Gas Perlu Ditentukan Mahkamah, Bukan Tafsiran Sepihak – Pemuda...

Isu Minyak dan Gas Perlu Ditentukan Mahkamah, Bukan Tafsiran Sepihak – Pemuda Gagasan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Isu tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan pemilikan dan kawal selia sumber minyak dan gas wajar ditentukan secara muktamad oleh mahkamah, bukan bergantung kepada tafsiran sepihak atau kenyataan politik, tegas Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Azalina Othman Said, yang menyatakan bahawa MA63 tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan minyak dan gas, menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran perlembagaan serta semangat pembentukan Malaysia.

Menurut beliau, persoalan utama yang perlu dijelaskan ialah sama ada pendirian tersebut mencerminkan sikap rasmi Kerajaan Persekutuan bahawa sumber minyak dan gas sama sekali tidak termasuk dalam kerangka hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

“Sekiranya ini adalah pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan, ia wajar dinyatakan secara jelas dan konsisten kerana MA63 selama ini sering dirujuk sebagai asas tuntutan hak negeri, termasuk dalam konteks sumber dan hasil,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Barhul menegaskan bahawa walaupun MA63 tidak menyebut secara literal mengenai petroleum, dokumen itu tidak boleh ditafsir secara sempit kerana ia merupakan asas pembentukan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya menafikan atau menghakis semangat, hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menyarankan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membawa isu tafsiran MA63 berkaitan minyak dan gas ke mahkamah bagi memastikan penentuan dibuat secara sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan.

“Isu ini bukan soal emosi atau retorik politik, tetapi melibatkan hak perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keadilan kepada Sabah.

“Kepastian undang-undang amat penting demi hubungan Persekutuan–Negeri yang sihat, stabil dan berasaskan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam pembentukan Malaysia,” katanya.