Isu Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Perlu Diselesai Sepenuhnya

Isu Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah Perlu Diselesai Sepenuhnya

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Isu Perlembagaan yang dikaitkan dengan tuntutan 40 peratus hasil dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah harus diselesaikan sepenuhnya berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif di Mahkamah Tinggi.

Memetik sumber Berita Harian, Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata pendirian itu dijelaskan dan disahkan secara lisan oleh Peguam Besar Sabah dan beliau sendiri selaku wakil kerajaan negeri ketika prosiding di Mahkamah Rayuan.

Katanya, penjelasan itu diberi sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung rayuan Peguam Negara semalam, terhadap kebenaran semakan kehakiman berkaitan isu 40 peratus yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 11 November 2022.

“Sebagai tambahan, kami juga sudah mengesahkan telah menarik balik penyerahan awal yang dibuat pada 16 Mei 2024.

“Oleh itu, pihak kami tidak menyokong rayuan pihak Jabatan Peguam Negara Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran kepada SLS.

“Kerajaan Negeri Sabah akan didengar sebagai pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi.

“Ini adalah kepentingan Perlembagaan yang tinggi dan wajar untuk ditafsir secara kehakiman dan ditetapkan sebagai perkara kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran N Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing, membuat keputusan menolak rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran diberi Mahkamah Tinggi kepada SLS untuk membuat semakan kehakiman berhubung kelayakan Sabah mendapatkan 40 peratus hasilnya.

Keputusan didengar secara dalam talian semalam, selepas Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan sejurus selesai mendengar hujahan semua pihak dalam kes rayuan berkenaan pada 16 Mei lalu.

Ia sekali gus memberi laluan kepada pihak SLS meneruskan usaha mewakili rakyat Sabah untuk mendapatkan hak negeri melalui semakan kehakiman terhadap perkara berkaitan dengan pengembalian 40 peratus hasil dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini.

Brenddon memuji keputusan mengekalkan kedudukan Mahkamah Tinggi dalam memberi kebenaran kepada SLS itu untuk meneruskan perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman mereka.

“Mahkamah Rayuan dalam menolak rayuan Jabatan Peguam Negara Persekutuan tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa SLS tidak mempunyai ‘locus standi’ atau perkara itu adalah ‘non- justiciable’.

“Tiada sebarang kos yang dikeluarkan oleh pihak Mahkamah Rayuan,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam masa sama dan secara berasingan, sesi perundingan antara Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan mengenai Pemberian Khas Hasil Bersih 40 peratus di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dijangka berterusan.

Katanya, perkara itu seperti yang sudah dipersetujui mengikut pengaturan interim antara kerajaan masing-masing.