Jalinan Kerjasama Antara BN, PH Hadapi PRN Sabah Merupakan Kerjasama Politik Strategik

Jalinan Kerjasama Antara BN, PH Hadapi PRN Sabah Merupakan Kerjasama Politik Strategik

0
SHARE
Rahman
Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah menyifatkan persetujuan jalinan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang telah dimuktamadkan baru-baru ini merupakan
kerjasama politik paling strategik.

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata setelah PRN Sabah berakhir, BN perlu terus berada dalam kerajaan negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH untuk memastikan BN dapat menyumbang khidmat kepada masa depan rakyat Sabah.

“Gabungan parti tempatan dan parti nasional (yang berakar umbi tempatan) adalah yang terbaik kerana ia dapat memenuhi harapan dan aspirasi semua pihak. Gabungan ini akan memberi kelebihan kerana setiap parti ada kekuatan dan kepakarannya.

“Realitinya, landskap politik Sabah begitu unik. Semua parti politik di Sabah sentiasa berdepan dengan cabaran keunikan ini. Lebih-lebih lagi ekoran lanskap politik yang tidak ketentuan dan PRN yang tidak lama lagi perlu diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata Sabah perlu menerima hakikat bahawa negeri ini perlu berurusan dengan kerajaan pusat.

“Semua hak Sabah yang mahu diperjuangkan masih memerlukan rakan dialog iaitu kerajaan pusat. Kita tidak mahu ada kekalutan politik yang akan membantut kemajuan perbincangan antara negeri dan pusat (berkaitan hak Sabah) yang sedang berjalan dengan amat baik sekarang.

“Dengan wujudnya kestabilan politik, lebih senang dan mudah untuk kita membangunkan Sabah termasuk meyakinkan pelabur asing.

“Hanya dengan strategi politik yang betul dan tepat oleh semua pihak, barulah satu formula kejayaan dapat dicapai tanpa perlu berdepan dengan risiko besar.

“Adalah penting strategi itu tidak berasaskan emosi atau bersulamkan kemarahan. Biarlah strategi itu berasaskan fakta dan realiti yang akhirnya mewajibkan semua pihak untuk mengambil pendekatan berlapang dada dan berlapang minda,” katanya.