MENUMBOK: Seorang remaja nyaris dimakan seekor buaya ketika memukat udang di Sungai Kampung Sarap, sini, pada Ahad.
Mangsa, Airol Jumat, 18, mengalami luka pada kedua-dua belah kaki dan di belakang pinggang akibat gigitan buaya tersebut.
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Ismail Abdullah mengesahkan kejadian itu berlaku pada pukul 1.30 pagi.
Katanya, mujur mangsa lekas naik ke tebing bagi menyelamatkan dirinya.
“Mangsa yang bersendirian ketika itu bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan keluarganya.
“Dia kemudian dihantar ke Hospital Kuala Penyu selepas oleh bapa dengan bantuan penduduk kampung.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 pada jam 9 malam memandangkan kecederaan yang agak serius,” katanya ketika dihubungi wartawan.
Walau bagaimanapun, Ismail berkata mangsa berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di bahagian Ortopedik Am.