TENOM: Seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan hingga membunuh adiknya sebelum maut ditembak polis dalam satu kejadian di Kampung Kangkawang, Kemabong, di sini, pada pagi Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Ansibin Uras, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.
Suspek yang juga abang mangsa, Torayu Uras, 57, maut selepas ditembak polis ketika operasi menahan suspek yang bertindak agresif dan enggan menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tembakan sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom dikerahkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan dua beradik, di mana mangsa dipercayai ditembak oleh suspek menggunakan senjata api jenis bakakuk.
“Setibanya di lokasi, suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri kawasan tersebut,” katanya.
Menurutnya, polis telah membuat kepungan dan mengarahkan suspek untuk menyerah diri sebanyak tiga kali, namun tidak diendahkan.
“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan bagi memaksa suspek keluar, namun suspek tetap berdegil.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata api ke arah anggota polis, menyebabkan seorang pegawai terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak tiga das tembakan dilepaskan menggunakan senjata jenis HK MP5 dan mengenai lengan kanan, dada kiri serta rusuk kiri saspek.
“Suspek kemudiannya rebah di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Pemeriksaan mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mempunyai peluru hidup di dalam chamber dalam keadaan sedia digunakan,” katanya.
Dalam kejadian itu, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk laras senjata api bakakuk, laras HK MP5, peluru hidup, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.






