Jangkitan Baharu Lebih Berbahaya Daripada COVID-19 Ada Di Kazakhstan

Jangkitan Baharu Lebih Berbahaya Daripada COVID-19 Ada Di Kazakhstan

0
SHARE

KAZAKHSTAN – Kedutaan Besar China di Kazakhstan mengeluarkan amaran berhubung jangkitan baharu “pneumonia tidak dikenali” yang dikatakan lebih berbahaya daripada COVID-19.

Ia selepas negara bekas republik Soviet itu melaporkan peningkatan kes pneumonia sejak Jun lepas, lapor SCMP.

“Angka kematian virus ini jauh lebih tinggi daripada koronavirus baharu…

“Jabatan kesihatan negara sedang melakukan kajian perbandingan mengenai virus pneumonia itu, namun masih belum dapat mengenal pasti virus tersebut,” kata kedutaan dalam peringatan kepada rakyatnya di negara itu.

Menurut laporan Astro Awani yang dipetik laman web kedutaan melalui media tempatan, laporan itu menyebut wilayah Atyrau, Aktobe dan bandar Shymkent merekodkan peningkatan kes pneumonia yang ketara sejak pertengahan Jun.

Difahamkan, terdapat hampir 500 kes radang paru-paru di tiga lokasi tersebut dengan lebih 30 pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Kazakhstan menyaksikan 1,772 kematian akibat radang paru-paru pada pertengahan pertama tahun ini di mana 628 kes berlaku pada bulan Jun, yang turut melibatkan beberapa warga China, kata kedutaan itu.

Berdasarkan laporan daripada agensi berita Kazinform, seramai 300 orang yang disahkan menghidap pneumonia dimasukkan ke hospital saban hari.

Menurut agensi itu lagi, sebanyak 1,700 kes pneumonia dikesan di seluruh negara pada Jun, peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.