KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) juara Piala Malaysia 2023 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Ini menjadikan JDT mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pasukan pertama meraih ‘double quadruple’ selepas menyapu bersih semua empat trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dua musim berturut-turut.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Harimau Selatan berjaya mengekalkan semua trofi yang dimenangi mereka musim lalu termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia di bumi Johor.
Harimau Selatan hanya memerlukan enam minit untuk berada di hadapan apabila Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti selepas Azam Azmi Murad didakwa mengasari Fernando Forestieri.
Kelebihan itu bagaimanapun dipadam penyerang import TFC, Ivan Mamut juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 apabila dia dijatuhkan kapten JDT, Jordi Amat.
Memetik laporan Berita Harian, rentak kedua-dua pasukan sedikit terjejas ekoran bermain di atas padang yang rosak terutama di bahagian tengah yang mana aksi malam tadi dilihat kedua-dua pasukan bergelut untuk mengatur gerakan terbaik.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami Shane Lowry selepas bersambung babak kedua seakan memberi tuah buah Feroz Baharudin apabila dia dipilih pengendali JDT, Esteban Solari untuk menggantikan pemain import dari Australia itu.
Kemasukan Feroz memberi keceriaan kepada buat kem Harimau Selatan pada minit ke-73 selepas menanduk masuk bola sepak penjuru Heberty Fernandes untuk kembali meletakkan juara tiga kali Piala Malaysia itu di hadapan.
Kredit Foto: Laman media sosial rasmi Fb Johor Southern Tigers…
Arif Aiman Hanapi kemudian melengkapkan malam gemilang JDT apabila meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan selepas dia dijatuhkan Shahrul Nizam Ros Hasni.
Kredit Foto: Laman media sosial rasmi Fb Johor Southern Tigers…
Untuk rekod, ia kejuaraan Piala Malaysia kali keempat dimenangi Harimau Selatan selepas musim 2017, 2019, 2022.
Kredit Foto: Laman media sosial rasmi Fb Johor Southern Tigers…