ISKANDAR PUTERI, JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan skuad Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-0 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
JDT yang mempunyai rekod kekalahan 2-0 kepada skuad Bojan Hodak pada aksi final Piala Malaysia musim lalu, turun dengan formasi 3-4-3 yang sama tampak menguasai perlawanan apabila kerap mengasak ke kubu KL City menerusi beberapa percubaan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.
Seawal minit ketujuh tuan rumah menghadirkan cemas buat benteng pelawat selepas rembatan deras Leandro Velazquez hanya sipi di penjuru kanan gawang tatkala penjaga gol, Kevin Mendoza sudah tertewas.
Percubaan Ariff Aiman Hanapi pada minit ke-22 juga gagal mencipta jaringan walaupun berjaya menggelecek tiga pemain KL City FC sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti, namun bola hanya melewati palang gol.
Akhirnya gol yang dinanti JDT menjelma pada minit ke-26 selepas bola hantaran Ariff Aiman daripada kanan selepas bijak mengelirukan Declan Lambert sebelum menyepak bola tepat kepada Nazmi Faiz Mansor yang menanduk bola ke penjuru kanan gawang menewaskan Mendoza.
Tuan rumah terus menghukum kealpaan benteng anak didik Hodak pada minit ke-31 apabila bola lorongan Da Silva membuka ruang buat Forestieri bertindak melencong bola ke penjuru kiri gawang buat menewaskan Mendoza untuk meletak JDT selesa mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, KL City FC tampak bermula garang apabila mula mengasak ke kubu JDT dalam usaha merapatkan jurang gol, namun bola tandukan Kevin Koubemba pada minit ke-46 terus kedakapan penjaga gol, Farizal Marlias.
Da Silva hampir mencipta jaringan pada minit ke-75 namun bola rembatan leret yang tepat ke penjuru kanan gol sempat di tepis Mendoza bagi mengelak gawangnya di bolosi kali ketiga.
Ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan pemain gantian, Afiq Fazail meranapkan sisa perjuangan KL City FC apabila melakukan sepakan voli di luar kotak penalti menyaksikan Mendoza tergamam melihat bola menerjah jaringan.
Kedudukan 3-0 yang memihak JDT kekal sehingga wisel tamat perlawanan ditiupkan.






