Russia Haramkan Laporan Media Gambarkan Tindakan Negara Itu Terhadap Ukraine

Russia Haramkan Laporan Media Gambarkan Tindakan Negara Itu Terhadap Ukraine

0
SHARE

MOSCOW, RUSSIA – Pengawal selia komunikasi Russia, Roskomnadzor mengarahkan media menghapuskan laporan yang menggambarkan tindakan Moscow ke atas Ukraine sebagai ‘serangan, pencerobohan, atau pengisytiharan perang’.

Keengganan memadamkan laporan itu boleh dikenakan tindakan disekat dan didenda.

Dalam satu kenyataan yang dipetik AFP, Roskomnadzor mendakwa beberapa saluran media bebas termasuk saluran televisyen Dozhd dan akhbar bebas terkemuka negara, Novaya Gazeta, menyebarkan ‘maklumat tidak benar yang tidak boleh dipercayai secara sosial’ mengenai serangan bom di-bandar Ukraine oleh tentera Russia yang menyebabkan kematian orang awam.

Khamis lalu, pemimpin Russia, Vladimir Putin, melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine yang mengorbankan berpuluh orang, memaksa lebih 50,000 melarikan diri dari Ukraine dalam tempoh 48 jam saja dan mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih besar di Eropah.

Memetik gesaan Pejabat Pendakwa Raya, pengawal selia komunikasi berkata, saluran media yang turut menyertakan radio Echo of Moscow akan disekat melainkan mereka mengalih keluar ‘maklumat yang tidak boleh dipercayai’ itu.

“Roskomnadzor juga melancarkan penyiasatan pentadbiran ke atas penyebaran maklumat penting awam yang tidak boleh dipercayai oleh media yang disebutkan di atas,” kata badan kawal selia itu.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dengan denda sehingga lima juta rubel (RM251,984),” katanya.

Roskomnadzor juga berkata, bahawa ‘maklumat yang boleh dipercayai’ boleh didapati dalam ‘saluran maklumat rasmi Russia’.

Moscow setakat ini tidak memberikan sebarang butiran mengenai kekalahan Russia dalam pertempuran itu bagi menjawab dakwaan Kyiv yang menyatakan banyak korban jiwa ke atas tentera Moscow pada pertempuran itu.

Pencerobohan ke atas Ukraine adalah antara tindakan keras yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap mereka yang menentang Russia, yang mana ada pemimpin pembangkang tertinggi dibunuh, dipenjarakan atau dipaksa keluar dari negara itu.